My Pictures

Tuesday, January 5, 2010

Liga M: Kedah Laung Kebangkitan



Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my


KEDAH tekad mengembalikan semula kegemilangan yang pernah dikecapi mereka bagi menghadapi musim baru 2010 yang akan membuka tirainya Sabtu ini.

Skuad Hijau Kuning itu yang bakal tampil dengan kelibat empat pemain baru menanam impian untuk menjulang satu piala atau sekurang-kurang berada di tangga ketiga Liga Super musim ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah berharap pegawai serta pemain dapat membuktikan cita-cita itu menerusi komitmen, semangat dan daya juang yang tinggi.

"Kegagalan lepas perlu ditinggalkan kerana ia sudah berlalu dan jadikan ia sebagai iktibar untuk bangkit mencipta kejayaan," katanya pada majlis memperkenalkan pemain serta menandatangani tajaan jersi serta peralatan sukan oleh Lotto di kediaman Menteri Besar, Sri Mentaloon, Alor Setar semalam.

Tajaan selama setahun bernilai RM150,000 itu melibatkan dua pasukan iaitu skuad Liga Super dan Piala Presiden Kedah.

Hadir sama syarikat yang bertanggungjawab memasarkan barangan Lotto, Star 360 Sdn. Bhd. yang diwakili Pengarahnya, Udo Eimer.

Turut hadir Setiausaha Kehormat KFA, Dr. Hamdan Mohamed Khalib, pengurus pasukan, Datuk Khazali Din dan ketua jurulatih, Ahmad Yusof.

Empat pemain baru Kedah musim ini ialah Azmi Muslim dan Zambri Chin dari MyTeam serta Azlan Ismail (Terengganu) dan Shahril Faizal Sarifuddin (Proton FC).

Dalam pada itu, Hamdan memberitahu, bas bernilai RM400,000 yang akan digunakan skuad Kedah mempunyai 30 tempat duduk.

"Bas itu yang turut mempunyai sudut kopi dan ruang karaoke kini dalam proses akhir dan dijadual boleh digunakan tidak lama lagi.

"Bas itu yang bakal menjadi jenama baru KFA turut dibuka untuk disewa oleh persatuan-persatuan sukan lain di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Ahmad yang sudah bersedia menjelang sepak mula menentang Johor di Stadium Larkin Sabtu ini mahu memulakan langkah pertama dengan kemenangan.

Katanya, biarpun ada beberapa pemain termasuk Mat Sabree Abu yang cedera, namun pemain lain mampu menggalas tanggungjawab itu untuk mencari kemenangan pertama Kedah.

"Kombinasi di kalangan pemain semakin mantap dan Kedah sudah bersedia bersaing dalam musim baru ini," katanya.

0 comments:

Post a Comment

http://fraziff.blogspot.com/ © 2010. Design by :FR